E-mail Print PDF

GARIS PANDUAN PENULISAN

 

FORMAT DAN GAYA

Tajuk sesuatu manuskrip perlulah ringkas, deskriptif, dan seharusnya tidak melebihi 15 perkataan. Setiap manuskrip harus mempunyai abstrak, 150 hingga 250 perkataan dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris yang memperihalkan isi utamanya. Pihak editor akan memberikan bantuan kepada penulis yang tidak dapat menyediakan abstrak dalam bahasa Melayu.

Secara am, pembahagian isi merangkumi Pengenalan, Bahan dan Kaedah, Hasil dan Perbincangan, Kesimpulan dan Rujukan.  Setiap manuskrip mesti disertakan dengan 3-5 kata kunci.

Semua ilustrasi termasuk rajah, carta dan graf, mesti dilabel dan disediakan dalam halaman yang berasingan daripada teks. Kedudukan ilustrasi seperti yang dikehendaki dalam teks hendaklah ditanda dengan jelas. Semua ilustrasi ini harus dirujuk dan dinomborkan secara berurutan sebagai rajah. Semua ilustrasi hendaklah sama ada dilukis dengan jelas menggunakan dakwat kekal, difotografkan dalam bentuk hitam putih atau warna dan dicetak di atas kertas yang bermutu, atau dalam bentuk imej digital, dan disediakan dalam bentuk camera-ready.

Rujukan dalam teks hendaklah menggunakan sistem nama penulis dan diikuti oleh tahun penerbitan. Satu senarai rujukan yang disusun mengikut abjad hendaklah dimasukkan di bahagian akhir sesebuah manuskrip. Kesemua rujukan yang dipetik dalam teks haruslah muncul dalam senarai rujukan. Para penulis bertanggungjawab memastikan ketepatan dan kesempurnaan maklumat dalam senarai rujukan. Artikel mesti menhgandungi rujukan atau bibliografi. Rujukan dalam teks dan senarai rujukan perlu mengikut gaya APA (American Psychology Association) iaitu system Pengarang, Tahun (Author, Year). Walau bagaimanapun, pengecualian diberikan kepada artikel tertentu yang memerlukan nota tambahan dalam bentuk nota hujung (endnote). Gaya rujukan yang digunakan haruslah konsisten di semua bahagian manuskrip.